Permintaan tenaga mahir pengendali kren meningkat lima tahun lagi
28 August 2025
SHAH ALAM – Permintaan tenaga kerja mahir dalam bidang pengendalian kren dijangka meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang, selari dengan pertambahan projek bernilai tinggi di seluruh negara.
Ketua Tred Jentera Berat Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara, Mohd Azhari Abdul Rashid berkata, negara memerlukan pengendali kren baharu setiap tahun bagi menggantikan pekerja sedia ada yang bersara, selain menampung keperluan projek baharu.
Beliau berkata, bagi memastikan tahap kemahiran kekal relevan, agensi berkaitan disaran menetapkan keperluan kepada pengendali untuk menghadiri Program Pendidikan Berterusan (CEP) setiap kali memperbaharui lesen.
“Selain itu, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu memainkan peranan melatih pengendali mengikut standard antarabangsa.
“Ini termasuk penggunaan teknologi moden seperti latihan simulator kren bagi meningkatkan kecekapan agar dapat mengurangkan risiko kemalangan.
“ABM yang merupakan agensi latihan dan akreditasi di bawah CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) misalnya, menggunakan simulator dalam sesi latihan awal bagi meningkatkan kemahiran pelatih sebelum mereka mengendalikan kren sebenar,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohd Azhari, pekerjaan sebagai pengendali kren menara menawarkan masa depan cerah dengan pendapatan kompetitif, peluang kerja di luar negara serta laluan kerjaya jelas untuk menjadi penyelia atau jurulatih.
“Terdapat juga peluang bekerja di sektor minyak dan gas (pelantar di tengah laut) sebagai operator kren dengan gaji lebih tinggi bagi mereka yang berkelayakan,” katanya.
