Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Kampus ABM Sabah bernilai RM130.6 juta pacu TVET

30 August 2025

PAPAR: Sabah melakar sejarah baharu dalam pembangunan modal insan apabila Projek Pembinaan Kampus Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah di Beringgis, bernilai RM130.6 juta, dimulakan secara rasmi, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kampus baharu yang dibangunkan di kawasan seluas 34 ekar itu bakal menjadi pemangkin utama memperkasa golongan belia Sabah dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam sektor pembinaan.

Beliau berkata, kemudahan berteknologi tinggi di kampus baharu itu dijangka menampung sehingga 700 pelatih pada satu-satu masa, sekali gus meningkatkan kapasiti latihan belia sebanyak 73 peratus dan personel binaan sebanyak 39 peratus berbanding kemudahan kampus sementara ABM di Kayu Madang, Kota Kinabalu.

“Hari ini kita membuka lembaran baharu untuk Sabah. Kampus ini akan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, menggilap bakat anak muda, meningkatkan daya saing mereka di pasaran pekerjaan, selain menjadi hab TVET Pembinaan Malaysia Timur,” katanya pada Majlis Pecah Tanah projek berkenaan di tapak projek kampus ABM, Beringgis pada Sabtu.

Hajiji berkata, usaha itu selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan infrastruktur serta modal insan sebagai tonggak pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, penubuhan Majlis TVET Negeri Sabah (MTS) pada Mei lalu menjadi bukti komitmen kerajaan negeri dalam menyelaras lebih 160 institusi latihan TVET di Sabah agar seiring dengan keperluan industri semasa.

Menurutnya, ABM Sabah dan CIDB Tech sudah berjaya melatih lebih 7,000 pelatih sejak penubuhannya, dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 85 peratus.

Katanya, antara bidang yang mendapat permintaan tinggi termasuk 'scaffold erection', kimpalan, pemasangan paip gas, operasi jentera, elektrik, penyaman udara serta perpaipan, yang bukan sahaja diperlukan dalam industri pembinaan tetapi juga dalam sektor minyak dan gas di peringkat antarabangsa.

“Dengan adanya kampus moden yang dilengkapi teknologi terkini seperti penggunaan dron, simulasi dan peralatan digital, Sabah akan melahirkan lebih ramai tenaga mahir untuk memenuhi permintaan pasaran global,” katanya.

Hajiji yakin, kampus itu akan memberi limpahan ekonomi kepada daerah Papar, khususnya kawasan Kampung Beringgis dan sekitarnya, di samping memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pusat latihan TVET yang berdaya saing.

Beliau turut menzahirkan harapan agar kampus berkenaan mampu melahirkan ikon TVET baharu seperti Rudy Mohammad, alumni ABM Sabah dalam bidang Architectural Drafting yang diiktiraf sebagai Ikon TVET Pembinaan pada 2024 dan berjaya ke peringkat dunia.

Dalam majlis sama, turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara ABM Sabah dengan tiga rakan strategik iaitu Sabah Housing and Real Estate Developers Association (SHAREDA), KTI Sdn Bhd dan Tas Institute of Oil & Gas, bagi memastikan graduan ABM mendapat peluang pekerjaan yang nyata dalam sektor perumahan, pembinaan dan minyak dan gas.

Hajiji turut mengumumkan pembinaan sebuah Dewan Masyarakat baharu di Kampung Beringgis, berhadapan dengan tapak kampus berkenaan, yang akan dinamakan Dewan Tan Sri Osu Sukam.

“Penamaan ini sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan sumbangan mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Osu Sukam, yang juga mantan Ahli Parlimen Papar dan ADUN Kawang, bukan sahaja kepada daerah Papar, malah kepada negeri dan negara,” katanya.

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara