Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Carsome Academy diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan TVET

2 September 2025

SHAH ALAM - Carsome Academy, cabang pendidikan Kumpulan Carsome Inc menerima pengiktirafan berprestij TVET Centre of Excellence Award (Automotive Technical Education) sempena Malaysia Education & TVET Awards 2025, baru-baru ini.

Pencapaian itu menandakan satu lagi mercu tanda penting dalam usaha Carsome Academy memperkukuh pendidikan dan latihan kemahiran dalam sektor automotif.

Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Academy, Teoh Jiun Ee berkata, anugerah tersebut adalah pengiktirafan terhadap dedikasi tenaga pengajar dan pelajar.

“Pada masa sama, ia juga sebagai sokongan kepada misi kami untuk memperkasa anak muda Malaysia melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Ramai graduan kami datang daripada komuniti B40, dan kejayaan mereka membina keyakinan serta kerjaya dalam industri automotif merupakan pencapaian terbesar kami,” katanya.

Beliau yang juga Pengasas Bersama Kumpulan Carsome menambah, pengiktirafan itu membuktikan komitmen Carsome Academy dalam menyokong aspirasi Malaysia membangunkan tenaga kerja mahir yang akan memacu masa depan industri automotif.

Anugerah anjuran penerbitan Education + TVET Asia yang diluluskan Kementerian Dalam Negeri itu bertujuan menghargai institusi pendidikan yang menunjukkan kecemerlangan serta menyokong agenda nasional TVET Malaysia sejajar aspirasi Ekonomi Madani.

Sebagai institusi TVET yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran dan penyedia latihan bertauliah oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Carsome Academy menawarkan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang teknologi automotif dengan pendekatan 30 peratus teori dan 70 peratus latihan praktikal.

Melalui latihan di lebih 100 lokasi rakan industri, pelajar didedahkan dengan pengalaman praktikal yang mencerminkan situasi sebenar dalam industri automotif.

Selain itu, pelajar juga memperoleh tiga sijil yang diiktiraf industri iaitu Sijil Kemahiran Carsome, Sijil Kemahiran Insaniah Carsome Academy dan Sijil Kemahiran Malaysia, sekali gus memperkukuh peluang kerjaya mereka.

Carsome Academy turut menekankan pembangunan menyeluruh dengan melengkapkan pelajar melalui kursus kemahiran insaniah, selain latihan berkaitan kenderaan elektrik (EV), program komuniti Car Care 101 bagi memperkasa wanita, pelajar universiti, pekerja gig serta kursus keselamatan jalan raya. Bagi menyokong usaha tersebut, Carsome Academy turut menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Yayasan Menteri Besar Selangor dan Yayasan Raja Muda Selangor bagi memastikan lebih ramai pelajar daripada komuniti B40 mendapat manfaat pendidikan.

Sejak ditubuhkan pada 2021, Carsome Academy telah melatih lebih 8,000 pelajar dan melahirkan graduan diiktiraf industri.

Dengan kadar penempatan kerja mencecah 95 peratus dalam tempoh tiga bulan selepas tamat pengajian yang mana lebih 92 peratus daripadanya datang daripada golongan B40, pencapaian tersebut membuktikan pendidikan TVET mampu membuka peluang kerjaya sekali gus mengubah kehidupan.

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara