Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Hari Kemerdekaan: Anak Muda TVET Hadiahkan Malaysia 13 Emas Di WorldSkills ASEAN

31 August 2025

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, Malaysia menerima hadiah paling bermakna daripada barisan anak muda dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila berjaya merangkul 13 pingat emas di pertandingan WorldSkills ASEAN 2025 yang berlangsung di Manila, Filipina.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan kejayaan ini sebagai pencapaian yang amat membanggakan dan simbol kemerdekaan sebenar oleh generasi muda Malaysia.

Ujarnya, selain emas, kontinjen negara turut membawa pulang empat pingat perak, tiga gangsa serta dua anugerah “Medallion for Excellence”, menjadikan keseluruhan 22 pengiktirafan diraih oleh pasukan Malaysia.

“Alhamdulillah, ini adalah hadiah paling bermakna sempena Hari Kebangsaan. Anak-anak muda kita, khususnya dalam bidang TVET, telah membuktikan bahawa mereka bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi juga berdaya saing dan berjiwa besar. Mereka telah menghadiahkan kilauan emas kepada Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta, jurulatih dan institusi TVET yang memainkan peranan penting dalam membentuk wira dan wirawati negara.

“Kejayaan ini bukan hanya milik para peserta, tetapi juga hasil dedikasi jurulatih serta institusi pendidikan yang telah membimbing mereka dengan penuh komitmen. Kalian adalah kebanggaan negara,” tambahnya.

Beliau turut menyeru lebih ramai belia untuk menyertai bidang TVET dan melihatnya sebagai platform utama dalam mencorak masa depan kerjaya yang cemerlang dan berimpak tinggi. – UMNO Online

Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara