Penerbitan TVET Asia platform dinamik lahir tenaga mahir
28 August 2025
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Penerbitan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Asia dilihat sebagai platform dinamik untuk melahirkan tenaga mahir yang menepati keperluan industri dan menyokong keperluan masa depan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia sekali gus meningkatkan aset dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
"Penerbitan TVET Asia merupakan sebuah wadah yang dinamik dan berpandangan ke hadapan, yang menonjolkan pembangunan modal insan, latihan teknikal dan vokasional serta pendidikan di seluruh Malaysia.
"Penerbitan ini wajar dipuji kerana menampilkan tokoh berpengaruh, institusi terkemuka dan trend baharu, di samping memberikan pandangan bernilai mengenai ekosistem sumber manusia dan pendidikan di seluruh Asia", katanya pada majlis perasmian Malaysia Education & TVET Awards 2025, di sini.
Sementara itu, Beyond Education Malaysia menerima Student Advisory Leadership Award for Medical and Healthcare Programme 2025, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen membimbing pelajar dalam bidang perubatan dan kesihatan serta memastikan akses pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang kewangan.
Organisasi tersebut turut melancarkan Study MBBS 2025 kini memasuki tahun ke-9, dengan pengambilan September dan Oktober dengan menawarkan peluang pengajian perubatan di universiti-universiti rakan kerjasama.
