Kerajaan berhasrat iktiraf SKM setaraf dengan SPM
27 June 2023
PUTRAJAYA: Kerajaan berhasrat untuk mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) agar setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai langkah bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran lepasan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kertas dasar mengenai perkara tersebut akan dibawa ke Kabinet kira-kira dua minggu lagi.
“Kami akan menawarkan tempat-tempat kepada mereka yang tidak mengambil SPM atau pun gagal untuk menyertai TVET kerana kita mempunyai sijil-sijil yang dikeluarkan SKM.
“Kertas dasar (itu) akan dibawa ke Kabinet untuk menentukan bahawa sijil-sijil ini akan turut diiktiraf sebagai sijil yang sama taraf atau pun lebih tinggi daripada sijil SPM yang akhirnya mereka akan dapat masuk ke dalam pasaran sama ada swasta atau kerajaan berdasarkan sijil-sijil yang dikeluarkan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sidang media selepas melancarkan Portal TVET Madani dan turut menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama antara kerajaan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, terdapat beberapa lagi perubahan besar yang disarankan oleh jawatan kuasa berkenaan antaranya melibatkan dasar pendidikan negara dan dasar pengajian tinggi.
“Kita tidak lagi berfikir secara ‘silo’ tetapi melakukan koordinasi sebaik-baiknya dengan 12 kementerian, GLC dan swasta supaya tidak ada yang tertinggal dalam merebut peluang pekerjaan.
“Sudah tiba masanya kita gunakan tenaga tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing dengan memberikan mereka latihan sewajarnya mengikut kehendak pasaran dan minat peserta itu, apabila mereka menjadi lepasan TVET pekerjaan sudah menunggu mereka.
“Ia bukan sahaja mengurangkan kadar pengangguran, tetapi juga masalah ‘mismatch’ dalam bidang pekerjaan dan kursus yang mereka ikuti,” ujarnya.
Sementara itu, mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig, beliau berkata kertas Kabinet bagi mewujudkan suruhanjaya berkenaan sedang disediakan.
Jelasnya, kerajaan juga amat komited untuk menyediakan peluang pekerjaan yang bersesuaian untuk pekerja industri gig supaya mereka dapat terjun ke bidang lain jika sudah mencapai tahap umur tertentu.
“Kami membincangkan kemungkinan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig di mana kita akan memberikan latihan kepada mereka atau ‘re-skilling’, kekhuatiran kita pekerja ini apabila sudah sampai ke umur tertentu mereka tak mampu lagi untuk lakukan tugas itu,” katanya.
Pada 9 Jun lalu, media melaporkan UMNO mencadangkan kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia untuk mengawal selia ekosistem industri gig di negara ini.-UTUSAN
