Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Tiada cadangan gabungkan semua institusi TVET bawah satu kementerian

7 October 2025

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menyatukan semua institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di bawah satu kementerian.Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan memilih pendekatan penyelarasan berpusat yang lebih praktikal dengan memperkukuh ekosistem TVET melalui dasar serta inisiatif strategik di peringkat nasional.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Parlimen. Beliau menjawab soalan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai sama ada kementerian bercadang untuk menyatukan atau menyelaras institusi yang menawarkan program TVET di bawah satu bumbung kementerian sahaja bagi tujuan pemerkasaan yang lebih berfokus.

Sebagai langkah utama, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sudah menubuhkan Majlis TVET Negara (MTVET) sebagai platform tertinggi dalam membuat keputusan dasar berkaitan hala tuju TVET kebangsaan."Keanggotaan MTVET merangkumi semua kementerian penyedia TVET serta pelbagai pemegang taruh berkaitan.


"Menerusi kerjasama dan komitmen semua pihak, MTVET menjadi badan penyelaras yang merencana agenda TVET negara, sekali gus berperanan sebagai pemacu utama dalam merealisasikan hasrat Kerajaan untuk memperkasa TVET," katanya.Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, dibawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), kerajaan juga sudah merancang untuk menubuhkan Suruhanjaya TVET.

"Langkah ini adalah salah satu strategi di bawah inisiatif memperkukuh ekosistem TVET di Malaysia.

"Suruhanjaya TVET akan menjadi entiti khusus dengan mandat yang jelas untuk mengawal selia, memantau dan menyelaras pelaksanaan TVET secara bersepadu di peringkat nasional.

"Dengan adanya Suruhanjaya ini, keseluruhan ekosistem TVET yang membabitkan kementerian, agensi dan pihak berkepentingan dapat digembleng secara lebih teratur, cekap dan berkesan, selaras dengan hala tuju pembangunan ekonomi negara," katanya.

Gambar: Pelajar melawat ruang pameran sempena sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pada 13 Jun lalu. Bertemakan "TVET Pilihan Utama Kerjaya", sambutan itu menampilkan sembilan konsep pameran mengikut sektor utama iaitu Pengangkutan dan Automotif; Aeroangkasa; Elektronik dan Digital; Pembuatan Termaju; Tenaga; Rel dan Maritim; Perladangan, Pertanian dan Penternakan; Pembinaan; serta Perkhidmatan. - foto BERNAMA
Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara