Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

KKDW pastikan TVET pilihan utama generasi muda

12 October 2025

IPOH - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan melalui pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dengan menjadikannya pilihan utama generasi muda khususnya dalam kalangan belia luar bandar.Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, Datuk Abdul Kahar Abdullah berkata, kerajaan kini memberi penekanan besar terhadap TVET sebagai pemangkin utama kepada masa depan ekonomi negara yang berteraskan kemahiran, inovasi dan keusahawanan.

"Masa depan negara adalah TVET. Kita mahu lebih ramai belia terlibat dalam bidang ini kerana ia bukan sahaja menjanjikan pekerjaan, malah membuka ruang untuk mereka menjadi usahawan," katanya sempena Ekspo TVET@KKDW 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, di bawah KKDW terdapat 281 institusi TVET dengan lebih 580 kursus pelbagai bidang kemahiran ditawarkan di seluruh negara.


Menurutnya, setiap kursus dibangunkan mengikut keperluan industri agar pelajar dapat menguasai kemahiran yang relevan dan terus bersedia untuk memasuki alam pekerjaan selepas tamat pengajian.

"Kita pastikan setiap kursus diinstitusikan mengikut kehendak industri supaya tiada lagi isu ‘mismatch’. Graduan TVET sedia bekerja kerana mereka sudah melalui latihan praktikal di industri sebenar," ujarnya.Beliau turut menjelaskan konsep ‘teaching factory’ yang dilaksanakan di beberapa institusi seperti Malaysian Aviation Institute (MIAT) di Subang Jaya yang menempatkan pemain industri penerbangan dalam kampus bagi memastikan pelajar menjalani latihan sebenar bersama syarikat-syarikat berkaitan.

"Kadar kebolehpasaran graduan TVET kini berada pada tahap membanggakan iaitu melebihi 95 peratus, membuktikan bidang berasaskan kemahiran semakin mendapat tempat di pasaran kerja," katanya.Abdul Kahar berkata, kelebihan institusi TVET di bawah KKDW ialah sistem artikulasi yang membolehkan pelajar bermula dari peringkat asas hingga ke tahap tertinggi.

"Daripada lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang memasuki Giat MARA, mereka boleh naik ke Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) hinggalah ke tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 8 iaitu PhD (Doktor Falsafah)," jelasnya.Dalam perkembangan sama, beliau turut menekankan bahawa TVET KKDW tidak hanya untuk pelajar sekolah atau lepasan SPM, malah melibatkan kumpulan sasar lain seperti pekerja gig dan pelajar tahfiz.

"Ramai pekerja gig tidak mempunyai jaminan pekerjaan tetap. Melalui TVET, kita latih mereka dengan kemahiran seperti penyelenggaraan penghawa dingin agar boleh berdikari dan membuka peluang keusahawanan," jelasnya.Beliau menambah, pelajar tahfiz juga diberi peluang mengikuti latihan kemahiran supaya mereka memiliki alternatif kerjaya selepas tamat pengajian agama.

"Kita mahu mereka keluar sebagai insan yang seimbang, ada ilmu agama dan kemahiran hidup yang menjamin kelangsungan hidup dan membantu keluarga mereka. Ini adalah pendekatan inklusif KKDW untuk memastikan tiada golongan muda ketinggalan," tambahnya.

Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran Ekspo TVET@KKDW tahun ini, Abdul Kahar berkata, edisi ketujuh itu menggabungkan pelbagai pemain industri, institusi pendidikan dan agensi kerajaan bagi memperkenalkan teknologi terkini dalam bidang kemahiran seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik.

"Kita sasarkan lebih 300,000 pengunjung hadir secara fizikal dan dalam talian. Selain pameran, terdapat pertandingan robotik, e-sukan serta pelbagai aktiviti menarik untuk golongan muda," katanya.

Konsep ekspo kali ini bertemakan ‘TVET Masa Depan: Berkemahiran, Berinovasi, Berteknologi Tinggi’, seiring aspirasi KKDW melahirkan tenaga kerja tempatan yang kompeten dan berdaya saing di peringkat global.

Gambar: Orang ramai mengunjungi Ekspo Pendidikan TVET @ KKDW 2025 di Ipoh Convention Centre (ICC) pada Sabtu. Foto Bernama (Gambar kecil: Abdul Kahar)
Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara