Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

UTHM meterai kerjasama strategik dengan 17 industri, perkasa ekosistem TVET negara

18 October 2025

PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) hari ini memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan 17 rakan industri dalam pelbagai bidang termasuk tenaga solar, automasi industri, elektronik, sistem rel, tekstil dan teknologi bangunan.Majlis menandatangani 11 memorandum persefahaman (MoU) dan lapan memorandum perjanjian (MoA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh itu melibatkan nilai manfaat keseluruhan melebihi RM1.5 juta.

Kerjasama itu bertujuan memperkukuh pelaksanaan aktiviti akademik, penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi melalui perkongsian kepakaran, pembangunan teknologi, latihan industri serta pensijilan kompetensi profesional.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Datuk Seri Ibrahim Ahmad yang menyempurnakan majlis perjanjian tersebut menyifatkan inisiatif sebegitu sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara akademia dan industri.

“Kami di universiti bukan sekadar menghasilkan output, tetapi perlu fokus kepada outcome yang memberi manfaat sebenar kepada masyarakat dan negara.

“Kita tidak mahu universiti menjadi entiti yang terasing, sebaliknya ia mesti berorientasikan rakyat, dan anak-anak kita ini perlu disediakan laluan kerjaya yang bermaruah dengan tawaran gaji yang munasabah.

“Saya melihat strategi seperti yang diterajui oleh FTK bersama rakan-rakan industri ini sangat baik kerana kita perlu terus membina model kerjasama yang membolehkan universiti bertindak sebagai penyedia teknologi dan rakan strategik industri,” katanya.

UTHM turut menerima sumbangan endowmen in-kind bernilai RM52,000 daripada Solaroo System Sdn. Bhd. berupa peralatan makmal seperti panel solar dan kelengkapan kursus fotovoltaik (PV), termasuk penganjuran kursus khas untuk staf universiti.

Sementara itu, Mindmatics Sdn. Bhd. tampil sebagai rakan industri dalam bidang elektronik pertahanan dan keselamatan siber, dengan projek bersama termasuk penambahbaikan radar CAMAR melalui geran IMaP bernilai RM110,800, pembangunan sistem pemantauan komunikasi radio, serta program latihan Cyber Range untuk pelajar dan staf UTHM.

Professional Industry Training Centre (PITC) di bawah FTK juga memainkan peranan penting dalam menyokong ekosistem kolaborasi ini melalui pelaksanaan program latihan dan pensijilan kompetensi profesional.

Majlis turut menyaksikan perasmian FTK Mart oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Ali dan FTK Executive Lounge oleh Ibrahim, sejajar dengan aspirasi universiti ke arah menjadi Global Technopreneur University (GTU 2030).

Turut dikongsikan, kejayaan dua Syarikat Terbitan Universiti (STU), Pro Nature Living Solution (PNLS) dan Bambusoideae Technology Sdn. Bhd., yang menghasilkan produk kesihatan dan bahan berasaskan buluh.

Dengan kerjasama berterusan bersama industri, FTK UTHM terus komited untuk memperkasa ekosistem TVET universiti dan melonjakkan UTHM sebagai institusi bertaraf dunia yang berdaya saing dan berimpak tinggi. – MalaysiaGazette

Gambar: Majlis menandatangani 11 memorandum persefahaman (MoU) dan lapan memorandum perjanjian (MoA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh itu melibatkan nilai manfaat keseluruhan melebihi RM1.5 juta.
Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara