Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

MTVET setuju tubuh Jawatankuasa Interim Data Raya TVET

4 December 2025

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Interim Data Raya TVET di bawah seliaan terus MTVET sebagai struktur penyelarasan nasional yang lebih berautoriti dan mampan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah penting susulan projek pembangunan Data Raya TVET di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang telah berjaya menyatukan data daripada 12 kementerian dalam sebuah pangkalan data bersepadu sebagai Rujukan Nasional TVET.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara memberitahu, melalui jawatankuasa itu, tadbir urus pengumpulan, pengemaskinian dan perkongsian data akan dilaksanakan secara lebih sistematik, bersepadu dan mematuhi piawaian nasional.

“Langkah ini sekaligus membuka ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan pendekatan data-driven decision making dalam semua aspek perancangan TVET termasuk penyelarasan kursus, unjuran pasaran kerja, pembangunan kurikulum, pemetaan bakat dan penggubalan dasar.

“Penubuhan jawatankuasa ini turut memastikan kesinambungan fasa kedua pembangunan Data Raya TVET dalam RMKe-13 yang memberi tumpuan kepada pembangunan sistem analitik TVET nasional bagi meningkatkan kecekapan pemantauan serta keberhasilan TVET di akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Majlis MTVET kali kesembilan di Parlimen, hari ini.

Ahmad Zahid menambah, mesyuarat turut mengambil maklum kejayaan TVET Tahfiz yang kini diperkasa melalui program Hi-TVET dengan kerjasama strategik Jabatan Pendidikan
Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bersama agensi pusat, industri dan institusi pendidikan Islam.

Kata beliau, program itu meningkatkan kebolehpasaran pelajar tahfiz, disokong pencapaian seperti kemenangan Worldskills ASEAN 2025 dan pengembangan inisiatif techno-huffaz, dengan peruntukan berterusan termasuk RM5 juta bagi 2025.

Menurutnya, TVET Penjara Malaysia juga menunjukkan impak besar dalam pemulihan
warga penjara dengan lebih 19,000 peserta dilatih sejak 2012.

Tambah beliau, pengiktirafan dalam dan luar negara serta pelaksanaan model baharu Skills for Prospect (S4P) membuktikan peranan TVET sebagai instrumen pemerkasaan sosial.

“Dalam masa sama, GiatMARA melaporkan kejayaan Program Pemerkasaan TVET Tahfiz dan Program Kemahiran Pekerja Industri Gig yang melepasi sasaran penyertaan, meningkatkan pendapatan peserta dan memperluas akses latihan melalui unit latihan mudah alih.

“Program ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 11,000 peserta sehingga 2027,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, secara keseluruhan, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat hari ini membuktikan kesungguhan Kerajaan mengangkat TVET sebagai agenda
nasional yang merentasi kementerian, wilayah dan sempadan sosial.

“Dengan pendekatan bersepadu, berasaskan data dan berorientasikan masa depan, kerajaan yakin ekosistem TVET negara akan terus diperkukuh untuk melahirkan tenaga mahir yang kompetitif, berdaya saing dan bersedia memacu aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi maju berasaskan kemahiran,” katanya. – MalaysiaGazette

Gambar: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis MTVET kali kesembilan di Parlimen di sini hari ini.
Portal Rasmi TVET MADANI © 2025 Hak Cipta Terpelihara