Kementerian kendali program TVET perlu bekerjasama dengan industri swasta
19 June 2023
KUALA NERUS: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyarankan semua kementerian yang mengendalikan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bekerjasama lebih aktif dengan pemain industri swasta ke arah memperkasakan program TVET negara.
Menterinya, V Sivakumar berkata, perkara itu antara isu akan dibawanya dalam perbincangan Majlis TVET Negara (MTVET), yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akhir bulan ini. Beliau berkata, ada banyak perkara yang perlu dibincangkan pada mesyuarat di MTVET nanti, antaranya pencapaian KSM setakat ini berkaitan kolaborasi dengan pihak industri swasta.
"Sebenarnya di bawah MTVET ini, bukan kita (KSM) saja, tetapi semua kementerian yang menjalankan TVET pun ada, jadi bukan kita saja yang perlukan kolaborasi ini, sebaliknya mahu semua kementerian lain mewujudkan kerjasama dengan industri swasta," katanya pada sidang media selepas hadir majlis Hari Bersama Pelanggan Peringkat Zon Pantai Timur di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu di sini, hari ini.
Sivakumar yang sebelum itu turut serta dalam Dialog Industri Setempat bersama pemain industri dan penyedia latihan TVET di Zon Pantai Timur berkata, isu 'underemployment' juga akan dibawa pada majlis itu meskipun ia sudah beberapa kali disentuh Ahmad Zahid sebelum ini.
"Beliau pernah sebut satu daripada masalah kenapa ramai tak pilih TVET adalah disebabkan gaji dan upah yang rendah. Kita tidak boleh bayar pekerja yang ada kelulusan TVET sama dengan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada gaji minimum.
"Ia sama seperti apa yang disebut Timbalan Perdana Menteri mereka sekurang-kurangnya harus dibayar RM3,000," katanya.
Sementara itu, merujuk laporan Future of Jobs Report 2023 oleh World Economic Forum yang menyatakan 69 juta pekerjaan baharu akan terhasil dalam tempoh lima tahun akan datang, Sivakumar berkata, sebahagian besarnya akan dipelopori bidang TVET.
"Empat kelompok pekerjaan yang akan menyaksikan pertumbuhan stabil adalah dalam lapangan yang mempunyai kaitan langsung dengan TVET, seperti operator atau pengendali mesin dan teknologi, penganalisis teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pengajar atau pelatih vokasional.
"Itu sebabnya kenapa kebanyakan kerja yang baru diperkenalkan sejak kebelakangan ini adalah kerja yang perlukan kemahiran ini, berkaitan perubahan dari segi teknologi seperti AI.
"Dalam lima ke 10 tahun akan datang kita perlukan lebih ramai tenaga kerja yang memiliki kemahiran ini," katanya. – BERNAMA
