Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

TVET terus jadi pilihan, perkukuh pembangunan modal insan negara

24 December 2025

KUALA LUMPUR – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menunjukkan kemajuan yang ketara hasil komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkukuh pembangunan modal insan negara.
Melalui penyelarasan dasar, pemerkasaan institusi latihan serta kerjasama rapat dengan industri, TVET kini semakin diterima sebagai laluan pendidikan dan kerjaya yang relevan serta berdaya saing.

Antara pencapaian paling ketara ialah peningkatan kemasukan pelajar baharu ke institusi TVET yang mana ketika ini, seramai 212,022 pelajar baharu mendaftar di 1,398 institusi TVET di seluruh negara, berbanding hanya 130,440 pelajar yang mendaftar pada 2020.

Selain itu, statistik juga menunjukkan seramai 53.56 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini memilih laluan TVET sekali gus menghampiri sasaran 55 peratus yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Peningkatan itu mencerminkan keyakinan masyarakat yang semakin tinggi terhadap TVET sebagai pilihan pendidikan yang menjanjikan masa depan pekerjaan yang lebih terjamin.

Sementara itu, kadar enrolmen keseluruhan pelajar TVET juga menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan apabila jumlahnya meningkat daripada 344,153 orang pada 2020 kepada 436,285 orang pada tahun lalu.

Ia sekali gus menunjukkan keupayaan sistem TVET negara untuk menampung permintaan latihan kemahiran yang semakin meningkat.

Lebih membanggakan, kadar kebolehpasaran graduan TVET juga terus meningkat iaitu pada tahap 95.1 peratus tahun lalu, berbanding 87 peratus pada 2020.

Pencapaian itu membuktikan bahawa latihan TVET semakin selari dengan keperluan industri dan berjaya melahirkan tenaga kerja mahir yang bersedia memasuki pasaran pekerjaan.

Secara keseluruhan, seperti yang dikongsikan Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Ts Dr Azmir Mohd Yunus, perkembangan positif itu mengukuhkan peranan TVET sebagai tunjang utama pembangunan tenaga kerja mahir negara.

Dalam masa sama, ujarnya, ia juga menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia khususnya dalam bidang-bidang kepakaran yang selari dengan pasaran kerja berdaya saing tinggi.

Menjelaskan lebih lanjut, Azmir berkata, terdapat dua strategi utama dalam Dasar TVET Negara 2030 yang secara khusus dirangka untuk melatih tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan industri.

Ia terutamanya, ujar beliau, dalam sektor berteknologi tinggi yang berpotensi melonjakkan pendapatan pekerja berkemahiran kepada pekerja berpendapatan tinggi.

Pertama, menurutnya, adalah menekankan pembangunan kurikulum TVET yang dinamik dan responsif terhadap keperluan industri, supaya latihan yang diberikan selaras dengan kemahiran yang benar-benar diperlukan oleh sektor berteknologi tinggi seperti digital, automasi, tenaga bersih dan pembuatan canggih.

“Strategi ini selaras dengan matlamat dasar untuk menghasilkan pekerja yang relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa dan masa depan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, strategi kedua pula, tambah Azmir, adalah menggalakkan perkongsian kepakaran dan teknologi terkini antara industri dan penyedia latihan TVET.

Ujarnya, kerjasama itu termasuk penglibatan industri dalam reka bentuk dan penyampaian program latihan, serta penyediaan peluang latihan praktikal dan pendedahan kepada teknologi industri sebenar, yang mempercepat pemindahan pengetahuan dan inovasi dari sektor swasta ke institusi latihan.

“Strategi ini juga sejajar dengan inisiatif nasional yang lebih luas untuk menggabungkan TVET dengan agenda pembangunan sektor teknologi tinggi seperti yang digariskan di bawah New Industrial Master Plan 2030 dan rangka kerja lain yang memberi tumpuan kepada pengembangan tenaga mahir dalam teknologi digital dan industri berteknologi tinggi,” katanya.

Sementara itu, ditanya perancangan masa depan ke arah meningkatkan lagi keberkesanan sektor TVET, Azmir berkata, rancangan penubuhan Suruhanjaya TVET sebagai badan yang akan menyelaras, mengawal selia dan memacu pembangunan TVET di Malaysia dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh tadbir urus dan kelestarian ekosistem TVET negara.

Jelas beliau, penubuhan Suruhanjaya TVET itu merupakan satu strategi utama di bawah RMK-13 bagi menangani isu fragmentasi, memperkukuh penyelarasan antara penyedia latihan serta memastikan TVET lebih responsif terhadap keperluan industri.

Dengan kerangka tadbir urus yang lebih mantap, katanya, Suruhanjaya TVET dijangka menjadi pemangkin kepada peralihan TVET ke arah model yang lebih dipacu industri, di mana sektor swasta memainkan peranan lebih besar dalam penentuan kemahiran, pelaburan latihan dan penyerapan graduan.

“Ke hadapan, pendekatan ini diharap dapat mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada sokongan kerajaan, sambil memastikan TVET kekal relevan, mampan dan sejajar dengan keperluan ekonomi masa depan,” katanya.

Selain itu, dalam memastikan TVET kekal relevan dengan keperluan modal insan semasa, penjajaran semula kandungan latihan turut dilakukan supaya supaya selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).

Ia khususnya, melibatkan bidang strategik seperti tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor serta ekonomi digital.

Selain itu, dalam usaha memperkukuh kesinambungan laluan TVET ke peringkat lebih tinggi, Malaysia Technical University Network (MTUN) turut memainkan peranan penting apabila menyediakan laluan pendidikan tinggi berasaskan teknologi dan kejuruteraan bagi lepasan TVET.

Ia sekali gus memperluas mobiliti akademik dan kerjaya pelajar dalam bidang teknikal strategik, sekali gus bukan sahaja membina satu sistem yang cekap, malah ekosistem TVET bertaraf dunia.

Sesuatu yang pasti, kejayaan dan kemajuan agenda TVET negara tidak dapat dipisahkan daripada kepimpinan dan komitmen berterusan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara.

Menurut Azmir, di bawah kepimpinan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, agenda TVET telah diberi keutamaan strategik di peringkat nasional dan dipacu dengan hala tuju yang jelas serta konsisten.

Selain itu, ujar beliau, Ahmad Zahid juga telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan Dasar TVET Negara 2030, dan memperkenalkan portal kemasukan berpusat UP_TVET bagi memudahkan akses pelajar ke institusi TVET.

“Dalam masa sama, beliau turut menggerakkan penglibatan sektor swasta khususnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyokong institusi TVET dari segi latihan, teknologi dan peluang pekerjaan,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, usaha turut diperkukuh untuk memperluas akses TVET kepada komuniti yang kurang mendapat peluang dalam sistem pendidikan formal seperti pelajar tahfiz dan pondok dan komuniti luar bandar, sekali gus memastikan TVET benar-benar inklusif dan berperanan sebagai pemacu mobiliti sosial.

“Kepimpinan yang berterusan dan berfokus ini telah menjadi pemangkin utama kepada transformasi TVET Malaysia ke arah sistem yang lebih progresif, relevan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette

Gambar: Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Pelancaran Program TVET Management and Science University (TVET) – MSU di Chancellor Hall, Management & Science University (MSU), University Drive Off Persiaran Olahraga, Shah Alam
Portal Rasmi TVET MADANI © 2026 Hak Cipta Terpelihara