Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

TVET laluan pendidikan fleksibel & progresif

5 January 2026

SUATU ketika dahulu, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) sering dianggap pilihan kedua, khususnya dalam arus perdana pendidikan akademik.
Namun, persepsi itu kini berubah dengan ketara.

Bidang kemahiran suatu ketika dahulu dikaitkan dengan pekerjaan manual dan laluan terhad kini menjadi antara pemacu utama pembangunan modal insan negara, seiring keperluan industri moden dan teknologi berimpak tinggi.

Perubahan landskap ekonomi, kemunculan teknologi baharu serta peningkatan permintaan industri terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadikan TVET bukan lagi sekadar latihan asas, sebaliknya laluan pendidikan yang fleksibel, progresif dan berorientasikan kerjaya jangka panjang.

Malah, minat lepasan sekolah terhadap TVET turut menunjukkan peningkatan ketara apabila semakin ramai melihatnya sebagai pilihan kerjaya praktikal, stabil dan berdaya saing.

Daripada laluan alternatif ke pilihan utama

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr Shamsuri Abdullah berkata, TVET di Malaysia melalui evolusi besar daripada sekadar latihan kemahiran asas untuk golongan tercicir, menjadi tunjang utama strategi ekonomi negara bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Menurutnya, TVET kini tidak lagi dilihat sebagai laluan alternatif, sebaliknya menjadi komponen penting pembangunan negara.

"Melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11, Ke-12 dan kini Ke-13, TVET dijadikan tunjang utama pembangunan negara, khususnya dalam mendepani Revolusi Industri 4.0.

"Pelancaran Dasar TVET Negara 2030 menjadi langkah penting menyelaraskan 12 kementerian yang mengendalikan TVET di bawah satu kerangka lebih tersusun, selain memberi penekanan kepada peningkatan kualiti graduan dan gaji permulaan yang lebih kompetitif," katanya.

Komitmen kerajaan dalam memperkasa pendidikan dan latihan kemahiran turut dizahirkan menerusi Belanjawan 2026 apabila RM7.9 bilion diperuntukkan khusus untuk TVET, meningkat berbanding RM7.5 bilion pada tahun sebelumnya.

Peruntukan itu bertujuan melatih lebih ramai bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri berpertumbuhan tinggi serta menyokong sektor berkeutamaan negara, selari aspirasi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan bernilai pasaran.

POLYCC perkukuh bakat berkemahiran tinggi

Di Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) sendiri, enrolmen pelajar menunjukkan trend peningkatan tiga tahun berturut-turut sejak 2023.

Dr Shamsuri berkata, pada 2025 saja, tren kemasukan mencapai angka 100,939 dengan peningkatan hampir 3.5 peratus berbanding 2024.

"Dengan trend sebegini, Insya-Allah, saya yakin kita capai sasaran 130,000 pelajar sepenuh masa pada 2035.

"Selain itu, kita bakal daftarkan pelajar Politeknik yang ke 1,000,000 pada 2027," katanya.

Di peringkat nasional, data UPU 2025 menunjukkan, tiga program ditawar di Politeknik iaitu Asasi Teknologi Kejuruteraan, Diploma Pengajian Perniagaan dan Diploma Teknologi Maklumat antara 10 program paling popular di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Menjelang 2026, kata Dr Shamsuri, hala tuju TVET negara dijangka beralih secara drastik daripada latihan kemahiran tradisional kepada TVET berteknologi tinggi bagi menyokong sektor 'high-growth, 'high-value' (HGHV) dan sektor strategik berimpak tinggi.

Katanya, antara sektor diberi penekanan termasuk teknologi tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI), robotik, keselamatan siber dan analisis data raya; industri semikonduktor; tenaga boleh baharu; mobiliti masa depan termasuk ekosistem kenderaan elektrik; industri aeroangkasa; serta ekonomi digital.

"Sektor ini menjadi tumpuan kerana ia strategi pembangunan negara ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.

"Ia juga diterangkan dengan jelas dalam dokumen rasmi kerajaan seperti Rancangan Malaysia ke-13, Dasar TVET Negara, 'New Industrial Master Plan 2030' (NIMP 2030) dan 'National Energy Transition Roadmap' (NETR)," katanya.

Bagi Politeknik dan Kolej Komuniti, pelaksanaan program pembelajaran berasaskan kerja ('Work-Based Learning') serta inisiatif 'Industry on Campus' menjadi antara faktor utama meningkatkan tahap kesiapsiagaan graduan menghadapi dunia pekerjaan sebenar.

Kerjasama strategik dengan industri bukan sahaja membantu mengurangkan ketidakpadanan kemahiran, malah meningkatkan nilai pasaran graduan.

Statistik terkini menunjukkan, kadar kebolehpasaran dan kadar bekerja graduan Politeknik dan Kolej Komuniti mencecah sekitar 98 peratus.

Pencapaian itu sekali gus membuktikan TVET mampu melahirkan tenaga kerja yang relevan dan diperlukan industri.

Di peringkat antarabangsa pula, penerimaan terhadap graduan TVET, terutama graduan POLYCC, semakin positif apabila 20 peratus graduan berjaya ditempatkan di syarikat multinasional (MNC), khususnya dalam sektor teknikal, pembuatan, automasi, pembinaan dan perkhidmatan teknologi.

Dr Shamsuri berkata, JPPKK akan terus mempergiat agenda pengantarabangsaan TVET melalui penjajaran kurikulum dengan piawaian antarabangsa, peluasan pensijilan industri global serta pelaksanaan latihan peningkatan kemahiran teknikal berimpak tinggi.

"Antara inisiatif terkini ialah penempatan 64 pelajar Politeknik di Liuzhou Railway Vocational Technical College, China, bagi mengikuti latihan peningkatan kemahiran teknikal dalam bidang rel sebagai persediaan tenaga mahir untuk memenuhi keperluan projek 'East Coast Rail Link' (ECRL).

"Ia sekali gus mencerminkan komitmen berterusan JPPKK dalam melahirkan graduan TVET yang berdaya saing, diiktiraf industri dan relevan di peringkat global," katanya.

Walaupun masih wujud persepsi bahawa TVET kurang menarik berbanding laluan akademik namun pelbagai usaha berterusan dilaksanakan bagi meyakinkan pelajar, ibu bapa dan masyarakat bahawa TVET laluan kerjaya masa depan.

Dr Shamsuri berkata, dalam hal ini, fokus diberi kepada dua faktor utama iaitu kebolehpasaran graduan dan gaji permulaan setimpal dengan kelayakan.

Oleh itu, katanya, institusi TVET perlu sentiasa meningkatkan kerjasama dengan pihak industri supaya graduan POLYCC diberi gaji permulaan sewajarnya selaras dengan Dasar Gaji Progresif (DGP).

"Penerangan secara langsung kepada pelajar, ibu bapa dan masyarakat umum sama ada secara libat urus, melalui media traditional atau media sosial akan tetap diteruskan dan dipergiatkan supaya masyarakat dapat memahami secara jelas berkaitan TVET dan potensinya sebagai laluan kerjaya masa hadapan.

"Dengan sokongan dasar yang kukuh, peruntukan kerajaan yang meningkat serta kerjasama erat industri, TVET kini bukan lagi pilihan kedua.

"Sebaliknya, ia laluan strategik yang menyokong pembangunan ekonomi negara, mobiliti sosial graduan dan penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk masa depan," katanya.

MARA lengkapkan ekosistem, fokus mobiliti Bumiputera

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Ir Dr Mahzan Teh berkata, TVET di bawah MARA memainkan peranan strategik sebagai pemacu pembangunan modal insan Bumiputera menerusi ekosistem latihan kemahiran yang menyeluruh, berstruktur dan berpaksikan keperluan industri.

Menurutnya, melalui pendekatan rasionalisasi program, MARA menstruktur semula penawaran TVET dengan menumpukan kepada pengkhususan berimpak tinggi, mengurangkan pertindihan program serta memastikan setiap institusi mempunyai fokus kepakaran yang jelas dan tersendiri.

"Pendekatan ini bukan sekadar memberi penjimatan sumber, malah bertujuan meningkatkan kualiti latihan, kebolehpasaran graduan serta pengiktirafan industri.

"Penstrukturan semula ini juga disokong melalui penjajaran kurikulum dengan keperluan industri semasa, peluasan pensijilan profesional serta penerapan teknologi baharu, termasuk elemen Revolusi Industri 4.0 dan 5.0 seperti automasi, pendigitalan, AI, teknologi Internet Kebendaan (IoT) dan teknologi hijau," katanya.

Pada masa sama, MARA kekal komited memperkukuh ekosistem pembangunan modal insan Bumiputera melalui latihan berasaskan industri tempatan dan antarabangsa.

Dr Mahzan berkata, ini tidak hanya membabitkan penyusunan semula program, malah merangkumi pemerkasaan kurikulum berasaskan industri, peluasan pensijilan profesional, penggunaan kemudahan latihan berteknologi tinggi serta pengukuhan latihan berasaskan kerja.

Mengulas aspek mobiliti sosial, Dr Mahzan berkata, program TVET MARA terbukti berkesan membantu belia dan komuniti luar bandar, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), meningkatkan taraf hidup melalui penguasaan kemahiran bernilai tinggi yang relevan dengan keperluan industri.

"Ramai graduan TVET MARA berjaya memperoleh pekerjaan berkemahiran dengan gaji yang kompetitif, sekali gus membuktikan keberkesanan TVET sebagai pemangkin mobiliti sosial dan pembangunan modal insan Bumiputera yang cemerlang.

"Pendekatan pembelajaran fleksibel merangkumi pembelajaran secara mobiliti kompetensi serta pembelajaran hibrid membolehkan pelajar, khususnya belia dan komuniti luar bandar, mengikuti pengajian secara sepenuh masa atau separuh masa mengikut keperluan masing-masing.

"Termasuklah melalui program kemahiran dan keusahawanan jangka pendek yang ditawarkan di seluruh institusi TVET MARA," katanya.

Menjelang 2026, fokus utama MARA adalah melahirkan graduan TVET yang memiliki kemahiran bernilai tinggi dan gaji kompetitif melalui kerangka pendidikan RISE yang menekankan aspek 'Religious', 'Innovation', 'Skills' dan 'Entrepreneurship' sebagai DNA graduan TVET MARA.

Sehingga kini, program teknousahawan sudah diperluaskan dalam bidang pengeluaran perabot, rekabentuk fabrik, kontraktor elektrik, landskap, upholsteri dan hiasan dalaman, automotif, penyamanan udara dan rekabentuk fesyen serta menyasarkan dua bidang baharu yang bakal diketengahkan iaitu semikonduktor dan produk konsumer.

Sebagai rekod, sehingga Julai 2025, MARA berjaya melahirkan 442 teknousahawan melalui Program Diploma Teknousahawan di Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dengan nilai jualan terkumpul mencecah RM120.8 juta, sekali gus menyokong aspirasi negara ke arah pembentukan masyarakat keusahawanan menjelang 2030.
Portal Rasmi TVET MADANI © 2026 Hak Cipta Terpelihara