Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

POLYCC harumkan nama negara, ungguli TVET berteras AI di China

22 December 2025

KEJAYAAN delegasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) di persada antarabangsa membuktikan keupayaan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) Malaysia bersaing secara kompetitif dalam landskap pendidikan global yang dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI).

Penyertaan Malaysia dalam The First Industry–Education Integration AI-Enabled Teaching Design Competition @ Belt & Road and BRICS Competition yang berlangsung di Politeknik Guangdong, wilayah Guangzhou, China baru-baru ini mencatat sejarah tersendiri apabila POLYCC membawa pulang enam pingat emas, empat perak dan satu gangsa, mengatasi penyertaan pelbagai institusi kemahiran antarabangsa.

Pencapaian itu bukan hasil usaha singkat, sebaliknya lahir daripada perancangan strategik hampir setahun yang melibatkan kerjasama bersepadu antara Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Pelajar serta Bahagian Koordinasi TVET POLYCC bersama pihak penganjur di China.

Pertandingan berprestij itu menghimpunkan peserta jemputan ASEAN melibatkan 11 wakil dari Malaysia, sembilan dari Vietnam dan seorang dari Indonesia, selain penyertaan institusi pengajian tinggi tempatan China.
Setiap peserta ASEAN dipadankan dengan tenaga pengajar dari institusi kemahiran China, menjadikan kolaborasi rentas negara sebagai teras utama pertandingan.

Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti POLYCC, Dr Riam Chau Mai berkata, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan jabatan itu dalam memperkasa inovasi pengajaran berasaskan AI merentasi pelbagai bidang TVET, di samping memperkukuh hubungan strategik Malaysia–China.

Menurut beliau, pencapaian itu bukan sahaja meningkatkan keterlihatan TVET Malaysia di peringkat global, malah membuktikan keupayaan pensyarah tempatan berkongsi idea dan kepakaran dalam mengintegrasikan AI ke dalam reka bentuk pengajaran yang selari dengan keperluan industri semasa.

Beliau turut menegaskan kesediaan POLYCC untuk memperluas kerjasama strategik dengan China, termasuk pembangunan kurikulum bersama, platform pendidikan digital, peningkatan kemahiran, pembelajaran sepanjang hayat, latihan berasaskan industri serta perkongsian penyelidikan dan inovasi.

Antara kejayaan yang mencuri tumpuan ialah penyertaan Pensyarah Politeknik Ibrahim Sultan, Nor Akashah Kassim yang meraih Anugerah Emas menerusi projek inovasi AI bertajuk The Hotel Front Office Services Course di bawah program Pengurusan Hotel.

Beliau yang digandingkan dengan pensyarah dari Politeknik Guangdong mengakui cabaran perbezaan bahasa, namun ia tidak menjadi penghalang kepada pertukaran idea dan kreativiti.

Menurut Nor Akashah, pengalaman kolaborasi itu membuka perspektif baharu mengenai potensi AI dalam memperkukuh pengajaran praktikal industri perkhidmatan, sekali gus menjadi pengalaman berharga yang padat dengan pembelajaran.

Kejayaan delegasi POLYCC itu sekali gus mengukuhkan kedudukan TVET Malaysia sebagai rakan strategik diyakini di peringkat antarabangsa, khususnya dalam era pendidikan digital dan AI, selain membuka lebih banyak peluang kolaborasi global berimpak tinggi kepada pensyarah dan pelajar.

Sebagai penutup, Dr Riam merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur BRICS dan Jabatan Pendidikan Wilayah Guangzhou atas komitmen serta layanan sepanjang penganjuran pertandingan.

Gambar: DELEGASI Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) bersama Persatuan Han Malaysia yang menganjurkan kolaborasi AI ini di wilayah Guangzhou, China. - Foto POLYCC
Portal Rasmi TVET MADANI © 2026 Hak Cipta Terpelihara