Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Laluan pendidikan TVET kini diperluas sehingga ke peringkat PhD

22 September 2025

Sepang: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) komited memperluas laluan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) sebagai usaha memperkukuh agenda pendidikan tinggi negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, peluasan laluan akademik itu membuktikan TVET kini diangkat setaraf pendidikan arus perdana serta mampu melahirkan graduan berdaya saing di pasaran kerja.

Katanya, perkembangan itu turut didorong oleh permintaan industri yang semakin tinggi terhadap graduan TVET.

"TVET kini tidak lagi terhenti di peringkat sijil atau diploma, tetapi sudah terbuka sehingga ke peringkat PhD dan ini pengiktirafan besar terhadap peranan TVET dalam pembangunan negara."Peluang pekerjaan yang dibuka kepada graduan TVET juga semakin luas dan inilah masa terbaik untuk pelajar memilih laluan ini sebagai kerjaya masa depan," katanya.Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah dalam sesi dialog bersama warga German-Malaysian Institute (GMI), di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif GMI, Ahmad Solihin Mohamed Yusoff.

Mohammad Shatar berkata, pengiktirafan GMI sebagai penerima 'Anugerah Kecemerlangan PPT: TVET dalam Kategori Kolej/Institut/Akademi/Politeknik/Kolej Komuniti di MQA Awards 2025 jelas menunjukkan kemampuan institusi tempatan untuk menawarkan program berkualiti yang memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata, kemenangan itu selari dengan aspirasi kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi di bawah kepemimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta turut disokong Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam menjadikan TVET sebagai agenda utama negara.

Katanya, pembangunan dokumen Kod Amalan bagi Akreditasi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (COPTPA) oleh MQA dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta Kementerian Sumber Manusia menjadi rujukan penting dalam memastikan kualiti program TVET sentiasa terjamin.

"COPTPA dibangunkan khusus untuk memastikan kurikulum, tenaga pengajar, infrastruktur dan proses pembelajaran berasaskan amali program TVET benar-benar menepati keperluan industri.

"Dengan adanya panduan ini, graduan TVET diyakini memiliki kompetensi setanding dengan graduan laluan akademik.

"MQA mahu lebih institusi pendidikan tinggi (IPT) memperbanyak program TVET bagi memastikan bekalan tenaga kerja mahir terus mencukupi," katanya.

Gambar: Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran (depan, empat dari kanan) menunjukkan sijil MQA Awards 2025 yang dimenangi German-Malaysian Institute (GMI) selepas menyampaikan ceramah dalam sesi dialog bersama warga institusi itu di Sepang, Selangor. FOTO ihsan MQA
Portal Rasmi TVET MADANI © 2026 Hak Cipta Terpelihara