Some placeholder content for the first collapse component of this multi-collapse example. This panel is hidden by default but revealed when the user activates the relevant trigger.
Berita TVET

Kerajaan Persekutuan utamakan graduan TVET tempatan ganti pekerja asing

9 November 2025

Beaufort: Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada tenaga kerja rakyat tempatan yang menerima Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam industri berkaitan bagi mengurangkan kebergantungan dengan tenaga kerja asing.Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau sendiri akan memastikan mana-mana syarikat atau pemain industri memberi keutamaan mengambil rakyat tempatan kelahiran sistem TVET sebagai pekerja.

"Kalau ada syarikat datang jumpa saya mahu mohon lesen buka kilang sawit atau kilang lain, saya akan tanya apa strategi mereka untuk ambil pekerja tempatan di kawasan operasi.

"Kalau mereka kata tiada calon berkemahiran, kita akan rujuk kepada Majlis TVET Negara supaya kemahiran itu boleh dimasukkan dalam silibus latihan," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Eksplorasi TVET Komuniti 2025 bertempat di Kolej Komuniti Beaufort, di sini, hari ini.Turut hadir, Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Matbali Musah, Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Ts Dr Azmir Mohd Yunus dan Pengarah Kolej Komuniti Beaufort, Ts Julkifli Awang Besar.

Johari berkata, beliau berharap agar maklum balas daripada syarikat atau pemain industri akan membantu pihaknya menstruktur semula sukatan dan kandungan latihan bidang TVET.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan pihaknya dapat melatih pelajar TVET berdasarkan permintaan sebenar sektor pekerjaan dan terus diserap selepas menamatkan kursus.

Menurutnya, pihaknya juga menyediakan insentif seperti elaun latihan bagi menarik minat golongan belia khususnya daripada luar bandar menyertai bidang kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri.

"Kita mahu pastikan pelajar dilatih berdasarkan permintaan sebenar industri. Kalau syarikat perlukan 20 tenaga kerja, kita akan sediakan pelajar yang sesuai.

"Kita juga beri elaun supaya mereka terdorong untuk ambil peluang itu. Bila tamat latihan, kerja sudah sedia menunggu," katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu perlu dilaksanakan dengan tegas agar industri tidak lagi memilih jalan mudah mengupah pekerja asing semata-mata kerana faktor gaji murah.

Katanya, kebergantungan kepada tenaga kerja asing mesti dihentikan secara berperingkat demi kestabilan ekonomi negara.

Johari berkata, kerajaan sudah memulakan langkah itu dengan memastikan setiap permohonan lesen baharu bagi kilang atau ladang mesti disertakan pelan pengambilan pekerja tempatan sebelum diluluskan.

"Kalau mereka mahu ambil 1,000 pekerja asing, saya akan minta sekurang-kurangnya 100 daripada kalangan tempatan.

"Kalau tidak, lesen tidak akan diluluskan. Kita mesti ada kehendak politik untuk ubah keadaan ini. Mungkin sukar pada awalnya, tapi hasilnya sangat besar untuk negara," katanya.
Portal Rasmi TVET MADANI © 2026 Hak Cipta Terpelihara