Dasar perkasa TVET pacu pendidikan teknikal negara
7 May 2024
Ketika membuat liputan Majlis Santunan Kasih Syawal bersama Timbalan Perdana Menteri, baru-baru ini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak lekang daripada menyebut mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ketika ditemubual media.
Ia jelas menunjukkan iltizam tinggi kerajaan dalam memartabatkan TVET yang bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan khususnya kepada golongan muda, tetapi juga menjengah gaji bertahap premium.
Usaha itu kini dilihat berada pada landasan betul, malah lebih terkehadapan melalui peranan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) dipengerusikan Ahmad Zahid sebagai badan tertinggi membuat keputusan hala tuju TVET negara serta pelancaran Dasar TVET Negara 2030 dijadualkan pada Jun ini.
Berdasarkan maklumat dikongsi Ketua Sekretariat MTVET, Dr Mohd Faizal Tokeran, MTVET menggariskan tiga teras utama dalam Agenda Pemerkasaan TVET Negara iaitu Tadbir Urus Bersepadu dan Terselaras, TVET Dipacu Industri dan TVET Mencorak Masa Hadapan.
Menerusi kerjasama dan komitmen semua pihak, MTVET diyakini mampu menjadi platform terbaik untuk merencana agenda TVET dan seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan memperkasa dan membawa pendidikan itu ke tahap lebih tinggi.
Bergandingan dengan MTVET ialah Dasar TVET Negara 2030, berperanan sebagai medium penyatuan aspirasi dan hala tuju pelaksanaan TVET merentasi pelbagai pemegang taruh.
Dokumen ini menjadi rujukan dalam memandu institusi TVET menawar dan melaksana program TVET berkualiti dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri seperti digariskan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Paksi modal insan berkemahiran TVET
Dasar TVET Negara 2030 bermatlamat membawa Malaysia ke arah negara maju berpaksikan modal insan berkemahiran melalui pelaksanaan program TVET yang responsif, fleksibel dan inklusif ini menggariskan lima teras strategik dan 23 strategi utama.
Melalui Teras A iaitu tadbir urus komprehensif dan bersinergi, lima strategi digariskan iaitu menyelaras tadbir urus penyedia TVET, membangunkan polisi atau dasar ekosistem TVET dan membangunkan platform digital perkongsian data.
Strategi lain membabitkan perluasan akses kepada program TVET dan mewujudkan pengagihan model bagi memberi tanggungjawab bersama kepada kerajaan negeri atau koridor ekonomi dalam membangunkan modal insan.
Teras B iaitu kualiti dan laluan pendidikan bertaraf dunia dengan lapan strategi diatur antaranya melaksanakan sistem jaminan kualiti tunggal program TVET, menyelaras penawaran dan pelaksanaan program TVET berdasarkan hala tuju ekonomi negara serta membangunkan kurikulum TVET dinamik dan responsif berteraskan keperluan industri.
Kerjasama industri cekap dan produktif menjadi Teras C melalui menggalakkan perkongsian kepakaran teknologi terkini antara industri dan penyedia latihan TVET serta memperluaskan insentif khas bagi menggalakkan pembabitan industri.
Pembiayaan mampan yang menjadi antara tunjang utama bagi melancarkan operasi pelaksanaan TVET turut diambil kira dan dimasukkan ke dalam Teras D dengan strategi membangunkan model pembiayaan serta operasi dan memperuntukkan pembiayaan berasaskan prestasi daripada kerajaan untuk merangsang penyedia TVET.
Berpandukan lebih 90 peratus kadar kebolehpasaran TVET, besar harapan kerajaan memastikan TVET menjadi pilihan utama kerjaya melalui teras E dengan menyelaras pelaksanaan aktiviti promosi TVET berimpak tinggi, membina jenama TVET kebangsaan tunggal, memantapkan imej TVET dan mewujudkan panduan kerjaya.
Mohd Faizal menyimpulkan Dasar TVET Negara 2030 sebagai rujukan komprehensif yang menetapkan aspirasi dan hala tuju kerajaan bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan TVET secara holistik.
Berpandukan kekuatan itu, Dasar TVET Negara 2030 menggariskan kepentingan kerjasama kolektif antara kerajaan, institusi TVET awam dan swasta serta industri dalam memacu pembangunan modal insan berkemahiran negara.
Kesimpulannya, kejayaan pelaksanaan Dasar TVET Negara 2030 pasti sangat signifikan untuk mengekalkan daya saing global terutama dalam bidang TVET bermatlamat melahirkan pekerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi.
